Anda Adalah Anda

Anda selalu memikirkan kelemahan dan kekurangan diri terlalu banyak berbanding kelebihan sebenar yang ada pada diri anda sendiri. Allah tidak menjadikan seseorang manusia itu bodoh dan lemah namun manusia diciptakan dengan kemahiran dan kelebihan yang berbeza-beza. Pandangan dan persepsi umum yang menyebabkan interpretasi kelebihan itu lebih kepada orang yang bijak dan cerdik pandai juga indah paras rupanya.

Jika kita merasa diri kita ini serba kekurangan ingatlah, itu hanya dipandangan mata umum. Persepsi umum ianya begitu namun disisi Allah jauh sama sekali berbeza. Asalkan kita memahami konsep penilaian kita disisi Allah bukan disisi manusia. Ya..hakikatnya bila seseorang manusia itu punya kelebihan diri seperti paras rupa, ilmu, kecerdikan dan sebagainya mereka akan mudah disanjung, disenangi oleh mata umum. Tiada salahnya dengan itu semua namun kita yang merasa dunia ini sempit melihat segenap ruang diri hanya lah kekurangan dan kelemahan, ingatlah nilaian kita disisi manusia mungkin begitu mengecewakan namun carilah nilaian kita disisi Allah. Kita yang akan tentukan sejauh mana nilaian kita disisi Nya. Sejauh mana kita letak harga diri kita disisi Allah jauh lebih penting berbanding kehidupan dunia yang adakalanya sangat tidak adil, mendukacita serta mengecewakan.


Jika anda melihat kelemahan itu telah membayangi kehidupan anda cukuplah dan janganlah begitu kerana anda berhak merasai kehidupan yang lebih baik dari tidak sudah-sudah menangisi kelemahan itu. Dengan menangisi setiap kelemahan diri itu anda selangkah meninggalkan setiap kelebihan yang sebenarnya ada pada diri anda. Carilah setiap ruang dalam diri yang mana anda lebih baik dari orang lain. Allah ciptakan manusia itu terlalu unik. Belum ada satupun manusia yang wujud dimuka bumi ini serupa identiti. Apakah maksud semuanya ini?.. Ya, setiap manusia berbeza kelebihan dan kemahiran. Pasti setiap diri kita ada kelebihan kerana ciptaan Allah itu penuh kesempurnaan jika dilihat dari sisi nikmat ciptaan Nya yang tidak termampu untuk dihitung. Carilah butir berlian yang ada dalam diri anda itu yang mana anda masih belum terlihat kehadirannya sedangkan ia wujud!


Untuk berjaya anda perlu mencontohi akhlak Rasulullah tetapi anda tidak akan mampu menjadi seperti Rasulullah. Dan kita pun tidak disuruh untuk menjadi Rasulullah tetapi mencontohi Rasulullah. Anda lihatlah bagaimana Rasulullah membahagi-bahagikan tugas sahabat-sahabatnya berdasarkan kelebihan dan kemahiran masing-masing.

Anda tentukan mana yang perlu diberi tumpuan. Fokuslah kepada kelebihan yang ada pada diri pada jalan kebaikan dan InsyaAllah dengan niat serta usaha baik anda itu akan membuahkan hasil kejayaan jika tidak disisi manusia pun yang lebih penting lagi disisi Allah. Jika keberkatan Allah yang anda cari, memang itulah yang anda akan dapat. Dan anda tidak akan terlalu kecewa atau pun bersedih hati kerana tafsiran kejayaan anda hanya disisi Allah, hanya DIa yang lebih tahu maka hanya kasih sayang Allah yang anda damba kan mengatasi kasih sayang sesama manusia. Jika anda rasa kasih sayang sesama manusia itu begitu indah anda boleh bayangkan kasih sayang Allah itu nun jauh lebih indah lagi kerna manusia hanyalah makhluk ciptaan Nya. Subhanallah..