Fitrah + Naluri Manusia

By admin On June 29th, 2009

Inginkan Tuhan Adalah Naluri Terindah

 

Sebahagian pengkaji Barat menamakan pencarian kepada Tuhan sebagai aktiviti otak yang tercipta secara semula jadi. Mereka mengandaikan bahawa ia adalah god spot dalam siratan neuron manusia maka dengannya manusia tidak puas-puas mencari kebenaran. Dalam bahasa kita ia disebut fitrah. Mari kita melihat kewajarannya :

 

Kisah 1

 

Firaun adalah antara manusia yang paling keliru  di planet bumi kerana pernah mendakwa bahawa dia Tuhan! Merasakan dirinya memiliki kekuasaan, dia sudah layak untuk ditabal sebagai Tuhan Maha Tinggi. Firaun kemudian melaksanakan keyakinannya itu dalam hidup sehariannya. Hasilnya bukan kebaikan tetapi kezaliman yang tidak terperi.

 

Kita tentu tertanya tanya tentang fitrahnya atau di manakah fungsi god spotnya?. Untuk memahami sesuatu drama itu kita perlu menyaksikan sehingga cerita ini tamat. Ini yang berlaku dalam mencari kaitan antara firaun dan fitrahnya.

 

Ketika dia berada di dasar laut merah, kakinya memijak karang sedangkan permukaan laut pula begitu jauh dari kepalanya, dia sedang berada di dasar laut! Dalam lonjakan dan bergelut untuk bernafas mendapatkan udara, firaun baru sedar siapa dirinya. Saat itulah dia berkata  ”Aku beriman dengan Tuhan Musa dan Harun…”

 

Akhirnya firaun menemui ajal dengan mati lemas. Dia tumpas dengan air yang tak sempat dikuasainya!..Malang bagi firaun kerana menyedari perkara paling penting hanya pada saat-saat terakhir dalam hidupnya. Baru hari itu dia melayan apa yang dibisikkan oleh fitrahnya.

 

Kisah 2

 

Kisah ini tentang lelaki komunis melayu pertama. Dia dengan penuh angkuh mengisytiharkan agar dikumpulkan semua mashaf yang berada di dalam rumah orang Islam dan diberikan kepadanya. Dia mahu jadikan helaian Al Qur’an sebagai kertas pencuci najis! Alangkah angkuh bicara ini. Faham Komunis yang menganggap agama ialah candu menguasai pemikirannya lalu membentuk keangkuhan melampau.

 

Sekali lagi kita perlu menunggu sehingga penamat untuk memhami sesuatu drama. Ketika lelaki ini sedang nazak di pembaringan, rakan-rakan yang menziarahinya terkejut besar kerana apabila mereka mengangkat tubuh lemah ini, mereka menemui ada senaskhah Al Qur’an di bawah bantal, betul-betul di bawah kepalanya. Ketika ditanya kepada isterinya, dia hanya menjawab bahawa itu permintaan suaminya. Hairan bukan? Tetapi itulah kuasa fitrah manusia yang sering cuba ingkar.

Dua kisah manusia ekstrem yang menolak Tuhan di atas sudah cukup bagi kita mendapat gambaran tentang kedudukan Tuhan dalam diri manusia. Rasulullah setiap kali bangun daripada tidurnya akan membacakan ayat Allah yang bermaksud :

    ”Sesungguhnya pada penciaptaan langit dan bumi perselisihan antara malam dan siang, ada tanda bagi mereka yang mempunyai mata hati….”

 

Dengan memperbanding alam keliling kemudian merangsang minda secara fitrah, ia akan membawa kita kepada menyaksikan kebesaran dan keagungan Tuhan. Masakan tidak, apabila kita lihat bumi yang berputar melawan pusingan jam tanpa henti dengan kelajuan sekata 3340 km/jam tidakkah kita berfikir siapa penguasanya? Pada masa yang sama bumi di atas orbit yang kukuh berputar melawan pusingan jam dengan kelajuan 108,000 km/jam. Sekali lagi tidakkah kita terfikir tentang kuasa yang mengurus selia semua ini?

 

Seorang pelumba F1 yang memecut kereta lumbanya pada kelajuan 320 km/jam dan berjaya menaiki podium sebagai seorang juara, kita memberikan tepukan berdiri penuh rasa kagum dan hormat… Alangkah tidak adilnya kita…Dengan sedikit kehebatan manusia kita rasa kagum tetapi dengan kemuncak kehebatan Tuhan kita membutakan mata!

 

Marilah kita buat sesuatu yang sejajar dengan fitrah. Bukan memeranginya, kita hakikatnya memerangi dalaman diri kita sendiri. Kita berada diantara dua tempat gelap :

Pertama rahim ibu, kedua kubur. Sinarilah hidup ini dengan kebaikan nescaya kegelapan kedua dilimpahi cahaya.

 

Dipetik dari U Turn Ke Jalan Lurus – Zul Ramlee

Penangan ‘Hati’

By admin On June 7th, 2009

Berfirman Allah Ta’ala yang bermaksud :

  

”Wahai anak Adam janganlah kamu melaknat makhluk kerana laknat tersebut akan kembali kepadamu semula.

 

Wahai anak Adam telah teguh langit di angkasa tanpa ada sebatang tiangpun, hanya sekadar dengan satu nama sahaja daripada nama-nama Ku, tetapi hatimu tidak teguh walau dengan seribu pengajaran daripada kitab Ku.

 

Wahai manusia, sepertimana batu tidak akan menjadi lembut di dalam air, demikianlah peringatan tidak akan memberi bekas pada hati yang keras.

 

Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu mengaku bahawa kamu hamba Allah tetapi kemudiannya kamu menderhakai Nya.

 

Bagaimanakah kamu boleh meyakini bahawa kematian itu benar sedangkan kamu mengingkarinya? Kamu mengatakan dengan lidahmu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya kerana pada sangkaanmu ia adalah remeh tetapi di sisi Allah ia adalah besar”.

 

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali

Al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah)

Beristighfarlah

By admin On June 7th, 2009

Istighfar Pembuka Jalan

 

Ibnu Taimiyyah berkata “ Jika masalah yang saya hadapi menemui jalan buntu maka saya akan beristighfar kepada Allah lebih kurang seribu kali, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar.”

 

Maka aku katakan kepada mereka:”Mohonlah ampun kepada Tuhan kalian, sesugguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kalian.” (Nuh :10-11)

 

Salah satu sebab ketenangan hati dan fikiran adalah beristighfar kepada Allah. Dengan beristighfar sesuatu tadinya dianggap mudharat, justeru mendatangkan manfaat. Setiap qadha’ pada dasarnya baik, meskipun maksiat termasuk di dalamnya.

 

Dalam Al-Musnad karya Imam Ahmad disebutkan : ”Allah tidak menetapkan qadha’ bagi seorang hambaNya kecuali qadha’ itu baik baginya”.

 

Ketika ditanyakan kepada Ibnu Taimiyyah : ”Meskipun (keterangan itu) maksiat?” Ibnu Taimiyyah menjawab : ”Ya, jika maksiat itu disertai dengan taubat dan penyesalan, istighfar dan kesedaran.”

 

…..Jika mereka menganiaya dirinya, mereka datang kepadamu (Muhammad, untuk menyatakan taubat) lalu mereka memohon ampun kepada Allah dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (An-Nisa’: 64)

 

…..Pada hari mereka melihat hari Kiamat nanti, mereka merasa seolah-olah dahulu tidak tinggal (di dunia) melainkan (hanya sebentar sahaja) di waktu petang atau pagi hari (An-Nazi’at:46)

 

 

Dipetik: ”Jangan Bersedih” Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni

Jahil VS Ilmu

By admin On June 6th, 2009

Jangan Bertanya Kepada Kejahilan Kerana Ia Akan Menjawab

 

Suatu

 petang yang damai di dalam sebuah komuter. Setibanya di suatu stesen pintu terbuka. Menjengah masuk ke dalam seorang bapa dengan dua orang anak lelaki kecilnya. Si bapa mencari kerusi yang masih kosong melabuhkan punggung, menyandar diri mencari keselesaan dan terus melelapkan mata. Tinggallah kedua-dua orang anak lelaki kecilnya yang berlari dengan bising dari hujung kehujung memanjat tiang dan bergayut pada tempat gantung tangan selain bergumpal sesama sendiri sehingga menjatuhkan buku dan majalah penumpang lain.

 

Penumpang di dalam gerabak itu memandang sesama sendiri dengan wajah marah. Suasana gerabak telah berubah menjadi kalut dan merimaskan bahana dua orang anak kecil ini. Lebih menyakitkan hati apabila melihat si bapa yang tersandar dan tenggelam dalam dunianya sendiri.

 

Seorang penumpang bangkit dan duduk di sebelah si bapa dan berkata-kata dengan lembut dan perlahan menahan rasa gerutu, “Saudara maafkan saya….Anak anda sebenarnya sangat mengganggu kami.”

 

Si bapa terkejut sambil membetulkan duduknya dan memohon maaf beberapa kali. Tiba-tiba kelihatan ada air mata bergenang di kelopak matanya dan suaranya tersekat di kerongkong. Wajahnya berubah sambil menarik nafas panjang dia seperti menyimpan sesuatu yang sangat berat.

 

Sebenarnya pada minggu lepas, isteri saya sering mengadu sakit di bahagian dalam kepalanya. Kami pergi ke sebuah hospital pakar dan hasil ujian sangat mengejutkan kerana terdapat satu ketumbuhan yang sedang menekan otak isteri saya dari dalam. Dia rupa-rupanya mengalami penyakit lampington. Sejak hari itu dia ditahan di hospital dan terpisah dengan dua orang anak kami.” Tuturnya penuh sayu dengan nada sangat perlahan.

 

“Saudara,,sejak hari itu dua anak saya bertukar menjadi sangat murung. Mereka tidak mahu menjamah makanan dan apabila tidur malam pula sering terkejut sambil menjerit memanggil ibunya. Tiada yang dapat saya lakukan sama sekali.” Dia berhenti sambil melontarkan pandangan ke arah kedua-dua anaknya yang leka bermain.

 

Semasa melawat isteri saya dia sering mendesak untuk berjumpa dengan kedua-dua anak ini tetapi kami tidak mendapat kebenaran untuk itu. Pada hari semalam sambil menangis dan memegang tangan saya isteri saya merayu untuk berjumpa dengan anak ini walau dengan berapa harga sekalipun.

Bicaranya terhenti lagi menahan sebak

 

Saya berjumpa dengan pihak atasan dan dengan berat akhirnya kebenaran diberikan untuk saya membawa mereka pada hari ini. Semalam apabila saya pulang dan membawa berita gembira ini, anak saya yang murung terus bangkit kegembiraan mereka berlari disekeliling rumah dan mereka hampir tidak tidur sepanjang malam kerana bercerita tentang ibu yang mereka rindui dan esok sungguh menyeronokkan.” Tambahnya sambil membetulkan duduknya.

 

Hari ini semuanya berjalan lancar, kedua-dua anak saya telah bersiap awal. Ketika saya mengunci rumah anak saya tidak habis-habis menarik saya agar segera bertolak…Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi saya mengangkatnya, suara di hujung talian meminta saya segera ke hospital.

Sekali lagi dia berhenti menahan sakit di dalam.

 

”Panggilan itu memberitahu…isteri saya telah meninggal dunia”. Kali ini dia berhenti, tunduk menahan gelombang sebak di dada. Esakan dan sedu tangisnya jelas kedengaran.

 

”Saya rasa dunia ini gelap sekali. Pedihnya berita ini, peritnya rasa ini. Lebih berat lagi saya tidak punya kekuatan dan bahasa untuk menyampaikan berita ini kepada dua orang anak saya. Saya takut untuk memikirkan kebenaran bahawa seminggu yang murung itu hanya sedikit rupanya berbanding hari-hari mendatang yang bakal mereka lalui tanpa belaian seorang ibu. ”Patah bicaranya dalam, sembilu tajam seperti menyayat-nyayat rasanya”.

 

Penumpang tadi tiba-tiba merasa bahawa segenap rongga hatinya dilimpahi simpati deras yang menyerbu masuk ke setiap penjuru bersama nafasnya. Dia menoleh dan melihat wajah comel kedua-dua anak kecil yang masih leka bergumpal, tetapi kali ini dengan pandangan dingin digenangi simpati amat! Dia sempat menjeling ke sekeliling pada wajah penumpang lain yang masih lagi mengerut muka dan mencebik menahan kemarahan.

 

Dia berfikir seandainya semua orang di dalam gerabak ini tahu apa yang sebenarnya berlaku tentu tiada api kemarahan pasti setiap mereka juga turut akan memberikan selaut simpati. Sebenarnya apakah yang membezakan seseorang dengan seseorang lain dalam hidup ini?.Ya ia terletak pada sejauh mana dia berpengatahuan dan berilmu. Penumpang yang tahu tadi berbeza seluruh persepsinya berbanding penumpang-penumpang lain.

 

Itulah keajaiban ilmu, dia berupaya membuka dimensi yang tidak mungkin akan diteroka oleh orang jahil. Namun apa yang menakutkan adalah bagi orang jahil, dia tetap akan mencari jawapan. Mereka terus bertanya ke dalam diri sendiri untuk memecah persoalan tentang hidup.

 

Apakah yang menjawab dan siapakah memberikan mereka pedoman? Ketika itulah kejahilan yang menjawab. Yang pasti ia menunjuk ke arah kesesatan dan kegelapan tanpa hujung. Ia seperti ’black hole’ yang menelan segala-galanya termasuk cahaya.

 

Orang jahil akan berbuat dan berindak mengikut pandangan kejahilannya. Kejahilan tidak bisu tetapi yang pasti kemudiannya semua perbuatannya menyimpang jauh daripada kebenaran. Ini paling menakutkan!

Oleh itu jangan bertanya kepada kejahilan kerana ia menjawab.

 

U-Turn Ke Jalan Lurus Oleh Zul Ramli M Razali

Kematian Bukan Satu Kemungkinan

By admin On June 6th, 2009

Fikir Kematian seperti mengaktifkan penggera jam, dengannya kita terbangun tanpanya kita terus lena.

Kisah

 Seorang isteri bercerita. Pagi itu berlaku sedikit perselisihan faham dengan suaminya. Bagi menunjukkan rasa protes dia tidak menoleh sedikit pun ketika suaminya melangkah keluar pergi bekerja. Sedangkan pada hari-hari sebelumnya dia akan menghulurkan tangan memperbetulkan tali leher atau kolar baju disamping mencium mesra tangan suaminya. Sekuntum senyuman manis terukir di bibir seorang yang bergelar isteri. Itu yang sentiasa dipesan oleh ibunya. Itulah yang dilakukannya sejak dia bergelar isteri.

 Namun pada hari itu perasaannya sedikit terluka dan itu perlu ditunjukkan kepada suaminya. Itulah yang ada dalam fikirannya. Tengah hari itu ketika perasaannya masih sebal tetapi menunggu-nunggu panggilan telefon daripada suaminya yang berhelah bertanya khabar tetapi sebenarnya ingin memohon maaf. Seikhlasnya ketika itu nalurinya ingin benar menutur bicara meluah rindu buat suami tercinta.

 Telefon berbunyi hati berbunga, namun jangkaannya meleset sekali. Itu bukannya panggilan daripada suami sebaliknya panggilan dari balai polis yang memintanya segera ke hospital. Dia perlu datang bagi membuat pengecaman kepada mayat seseorang yang hancur akibat satu kemalangan yang dasyat.

 Dan benar itulah sekujur tubuh suaminya yang melangkah keluar dari rumah pagi tadi tanpa dia menoleh kepadanya.

 

Yang pergi dengan sekelumit kesedihan kerana kolar bajunya yang tidak dibetulkan.

Yang tidak sempat pun bersalaman buat kali terakhir

Yang hanya memendam rasa cinta yang dalam

Yang melangkah pergi buat selama-lamanya.

Isteri itu kini hanya mampu menangis, menangis dan menangis lagi. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kisah seperti ini berlaku dimana-mana disekeliling kita dengan pelbagai corak dan episod yang berbeza-beza. Kita melihat, mendengar dan merasai gawatnya setiap hari. Apa yang pasti ia menjelaskan tentang realiti, menceritakan tentang hakikat. Itulah pengakhiran hidup manusia.

Sekiranya kita diberi peluang kita mungkin ingin meminta suami itu tidak diambil nyawanya pada hari itu. Apa salahnya jika diberi ruang baginya untuk pulang terlebih dahulu, paling tidak untuk bersalaman dengan isteri yang sedang menunggu. Namun yang jelas itu bukan di bawah kuasa kita. Ia diluar batas upaya dan tadbir manusia.

 

Persoalannya kenapa kita tidak sedar akan mesej ini?

 

Sekiranya ia berlaku pada orang lain, bukankah ada kemungkinan akan berlaku juga kepada kita? Kita tidak boleh beralasan hanya kerana kita tidak tahu bila, dimana dan bagaimana, lalu kita tidak mahu memikirkannya. Tidak bersedia sama sekali untuk memikirkan detik tersebut.

 

Hakikatnya kita tidak disuruh untuk takut kepada kematian, Cuma kita perlu bersedia, sama juga kita bersiap sedia atas sebarang kemungkinan dalam kehidupan. Apatah lagi kematian bukan suatu kemungkinan tetapi suatu kepastian. Tentulah perancangan dan persiapannya patut lebih hebat lagi.

 

Sekiranya dapat difahami, ia akan menjadi guru yang sentiasa mengingatkan kita. Samalah seperti kita mengunci penggera jam, ia boleh menyedarkan dan membangunkan kita. Sebenarnya tiada guru sebaik kematian!

 

Dipetik dari buku ‘U Turn Ke Jalan Lurus’ Oleh Zul Ramli M.Razali